ihsan Aku adalah Kamu
Saya yakin ramai yang mengenali Tok Janggut. Tetapi berapa ramai yang benar-benar tahu tentang kisah hidupnya? Kewujudan Tok Janggut dan perjuangannya pasti ada kaitan dengan nasib malang yang menimpa umat Islam seluruh dunia ketika itu, iaitu kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924.
Cuba fikirkan, betapa selama ini sejarah kita telah diputar belit oleh zionis kuffar. Mereka berjaya mengalihkan pandangan seorang pelajar sekolah, bahawa perjuangan seorang Tok Janggut adalah kerana mempertahankan kuasa politik tradisional dan membantah cukai semata, sedangkan beliau sebenarnya mempertahankan Al-Haq! Malah mereka telah berjaya melabel dan menanamkan dalam pemikiran kita bahawa Tok Janggut adalah penderhaka dan pemberontak.
Zionis kuffar telah berjaya memanipulasi pemikiran umat islam di nusantara ini (baca: gugusan kepulauan melayu), bahawa tahap tertinggi dicapai bagi seorang Islam adalah apabila ia telah berjaya dan selesai mengerjakan haji ke makkah al-mukarramah. Pemikiran ini telah ditanam dari nenek moyang kita sehinggalah ke generasi hari ini. Walhal sebagai seorang muslim, ia wajib menjalankan tugas khalifah, iaitu memastikan seisi alam ini menyaksikan syahadah yang agung, Laa ilaaha Illallah, Muhammad Rasululullah. Itulah kemuncak ustaziatul ‘alam yang wajib dilaksanakan bagi seorang Islam. Dan Tok Janggut adalah antara figure yang cuba menjalankan kewajipan syahadah ini.
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” [Surah Al-Baqarah, 2:30]
Di bawah ini disertakan bahan perkongsian yang dipetik dari laman web raykinzoku yang ditulis oleh Tengku Ahmad Zarir, seorang graduate dari Kinki University, Osaka.
Penulis asal berharap agar lebih ramai orang akan mengenali Tok Janggut bukan kerana gambar jasad beliau diperlakukan oleh Inggeris, tetapi kerana keberanian dan kematangannya dalam berjuang
demi agama dan bangsa.
Tok Janggut …….
atau nama sebenar, Haji Mat Hassan bin Panglima Munas.
Syahid pada hari ini 24 Mei,
dalam perjuangan menentang penjajahan Inggeris,
di Jajahan Pasir Puteh, Kelantan,
93 tahun yang lampau ……
Al Fatihah …..
Dahulu, lebih kurang tiga tahun yang lepas, saya pernah mencatit satu entri khas berkenaan Tok Janggut.
Apa yang asalnya diniatkan sebagai satu catitan kasual, sebagai menyempurnakan hajat seseorang, telah dengan tidak semena-menanya mendapat tumpuan ramai sehingga sendat dengan ratusan komen menyatakan minat. Dalam banyak banyak komen yang saya perhatikan, tidak kurang ada yang menarik, yang menyebabkan saya merenung kembali kisah perjuangan Tok Janggut, contohnya seperti komen ini :
i am an amateur historian. thank you for the write up. your photos will be useful
for those researching on Kelantan and its history. i had the privilege of meeting 2 of Tok Janggut’s grandson. they are proud their grandfather was a shahid. history has downplayed the extent and significance of the fight between tok janggut and the administrators then. it was a jihad of the muslims against the british rule.
Merenung kembali, memang benar sejarah kurang berlaku adil kepada Tok Janggut. Kisah perjuangan Tok Janggut, walaupun kini diabadikan dalam lembaran sejarah tanahair, disanjung dan diajar di sekolah, dirasakan seolah-olah masih atau sengaja dibiarkan tergantung. Tidak keterlaluan jika saya katakan, seolah-olah sama sebagaimana yang diperlakukan oleh Inggeris terhadap jasad Tok Janggut di Padang Bank.
Apa yang saya maksudkan dengan ” tergantung ” di sini adalah bila mana rata-rata sumber utama rujukan sejarah ( authorized sources ), dalam menghuraikan kronologi dan sebab musabbab kepada kebangkitan Tok Janggut, hanya mengutarakan faktor permasalahan cukai dan faktor kehilangan kuasa politik pembesar Melayu tradisional ( feudalisme ) sebagai punca.
Di sini, saya petik beberapa contoh dari huraian Arkib Negara Malaysia dan buku teks sejarah Tingkatan Lima sebagai bukti :
Campurtangan British di Negeri Kelantan pada awal abad keduapuluh telah menyebabkan berlaku beberapa perubahan dasar sistem pentadbiran di negeri tersebut.
Pihak British telah memperkenalkan sistem-sistem cukai yang baru yang bercanggah dengan kebiasaan rakyat tempatan dan telah melantik pegawai-pegawai untuk menggantikan tempat pembesar-pembesar daerah tradisional.
Kewujudan alat-alat pentadbiran dan campurtangan pihak British dalam pentadbiran Negeri Kelantan ini telah menggugat kedudukan pembesar-pembesar daerah serta menimbulkan kemarahan mereka yang selama ini memiliki banyak keistimewaan.
From :
Arkib Negara Malaysia : Hari Ini Dalam Sejarah Online : ” PERANG TOK JANGGUT “
* Buku Teks Sejarah Tingkatan 5 ( KBSM ), Dewan Bahasa & Pustaka, Cetakan Keempat 2006, Percetakan Watan Sdn Bhd ( Nota : Perenggan berkaitan di ” highlight ” bagi memudahkan rujukan. )
Sebenarnya, apa yang dinyatakan oleh sumber sumber di atas tidaklah bersalahan dengan apa yang benar benar telah berlaku. Cuma, secara peribadi, menyampaikan kisah Tok Janggut dalam konteks perjuangan membantah cukai dan kehilangan kuasa politik tradisional, bukan sahaja mengabaikan butiran penting lain dalam kronologi kejadian malah dirasakan mampu memberikan implikasi negatif kepada perkembangan minda generasi muda. Seolah-olah menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal dari kelompok yang kedekut dan taksub dengan feudalisme. Apakah sebenarnya yang ingin dibuktikan melalui huraian sedemikian ?
Sedar atau tidak, dengan pentafsiran sedemikian juga, kita telah berjaya menyempurnakan agenda penjajah Inggeris tanpa mereka sendiri perlu bersusah payah menyempurnakannya. Sejarah membuktikan bahawa penjajah Inggeris sememangnya mahu perjuangan Tok Janggut digambarkan sedemikian, kerana mudah bagi mereka melabel beliau sebagai penjenayah dan pengkhianat ( tidakkah kita selalu diajar, membantah arahan pihak berkuasa adalah satu jenayah ? ) …..
…. dan sejarah juga membuktikan bahawa dengan menonjolkan Tok Janggut sebagai seorang penjenayah dan pengkhianat, mereka telah berjaya mengalihkan perhatian orang Melayu Islam dari memikirkan isu global berkaitan umat Islam yang sedang hangat ketika itu !
Laporan berikut, yang dipetik dari akhbar The New York Times, bertarikh 15 November, 1914, menjelaskan usaha awal Inggeris untuk memastikan orang Melayu terus terserkup di bawah tempurung :
Source :
The New York Times Online Archive, 15 November 1914
Menurut laporan di atas, pada 14 November 1914, Sultan Kelantan ( Sultan Muhammad IV, 1900 ~ 1920 ), telah mengeluarkan jaminan taat setia kerajaan Kelantan kepada Inggeris ekoran Perang Dunia Pertama di Eropah.
Inggeris pada masa itu, sedang berperang dengan kerajaan Turki Uthmaniyyah yang bersekutu dengan Austria-Hungary dan Jerman. Inggeris telah menekan pihak istana untuk mengisytiharkan solidariti bersama – tindakan yang mengecewakan Tok Janggut lantas memilih untuk bangkit sendiri menentang Inggeris …..
Tetapi mengapa Kelantan ? Mengapa Turki Uthmaniyyah !?
Perlu diingatkan bahawa pada masa itu, kerajaan atau empayar Turki Uthmaniyyah dianggap oleh kebanyakan umat Islam di dunia, termasuk juga di Kelantan, sebagai pelindung serta pemimpin ummah. Kebetulan pula di Kelantan, hampir keseluruhan penduduk adalah beragama Islam bermazhab Shafie ( dinyatakan di situ, ” Shaffa Mohammedanism ” ) dan kuasa politik adalah di tangan pemerintah beragama Islam ( walaupun di bawah pengaruh Inggeris ).
Walaupun demikian, itu bukanlah perkara yang paling dirisaukan oleh Inggeris. Inggeris lebih gusar dan khuatir akan hakikat hubungan dan pergantungan Kelantan dengan Timur Tengah dari sudut ideologi dan politik, yang telah berlangsung sejak berkurun lamanya. Ramai rakyat Kelantan berulang alik ke Makkah untuk menuntut ilmu, menunaikan ibadat Haji dan tidak kurang juga ada yang memiliki kepentingan di sana. Tok Janggut berada dalam kelompok ini, seorang terpelajar yang pernah menuntut ilmu dari Pattani hingga ke Makkah. Kebetulan juga, Makkah ketika itu merupakan wilayah Turki Uthmaniyyah, yang pastinya sedang marak dengan propaganda anti-Inggeris ketika Inggeris sedang berperang dengan Turki. Inilah yang dirisaukan oleh Inggeris.
Walau bagaimana pun, dalam hal ini, menyedari hakikat masyarakat Melayu yang amat mentaati Raja, Inggeris telah mengambil jalan memaksa pihak Istana untuk menyatakan pendirian yang selari dengan mereka, dengan harapan, kemarahan masyarakat Islam Kelantan terhadap peranan Inggeris dalam Perang Dunia Pertama dapat dikekang.
Namun, malang bagi Inggeris, jaminan yang diberi hanya bertahan selama lima bulan sahaja dan ” kekacauan ” ( disturbance ) yang dirisaukan telah benar benar berlaku di Pasir Puteh pada April 1915, di bawah pimpinan Tok Janggut ( antara sebab mengapa Tok Janggut diisytiharkan Inggeris sebagai ” pemberontak “ dan ” pengkhianat “ ).
Apa yang menarik, perkara yang paling dirisaukan Inggeris di Kelantan sebenarnya telah terlebih dahulu berlaku di Singapura, kubu kuat Inggeris di Asia Tenggara. Pada Februari 1915, askar upahan Inggeris dari India yang beragama Islam telah bangkit memberontak. Peristiwa berdarah yang dikenali sebagai Dahagi Singapura 1915 atau The 1915 Singapore ( Sepoy ) Mutiny ini, telah menyebabkan lebih kurang 50 orang Eropah terkorban. Puncanya, tidak lain tidak bukan adalah kerana peperangan Inggeris dengan Turki Uthmaniyyah, ditambah pula dengan fatwa berjihad yang dikeluarkan oleh kerajaan Uthmaniyyah. Dikatakan Tok Janggut telah mengikuti perkembangan pemberontakan ini lalu merancang penentangan di Pasir Puteh.
Biar pun segera ditumpaskan, kejadian pemberontakan ini begitu memalukan Inggeris. Mengambil iktibar, Inggeris telah mengambil langkah berjaga jaga dan malang sekali, penentangan Tok Janggut menyusul dua bulan selepas itu dalam keadaan Inggeris sudah bersedia. Akibatnya, Tok Janggut telah diganyang sedasyat dasyatnya oleh Inggeris dan ini dapat disaksikan melalui bagaimana jenazahnya diperlakukan di Padang Bank.
Mengenangkan apa yang telah dilalui oleh Tok Janggut, adalah dirasakan amat tidak wajar jika kisah beliau terus dibaca dalam konteks sedia ada ( penekanan kepada permasalahan cukai & kehilangan kuasa feudal ). Perhatian perlu diberikan kepada konteks yang lebih global seperti yang dinyatakan di atas – sesuai dengan keadaan dunia masa kini serta hakikat diri dan latar belakang Tok Janggut sendiri.
Tok Janggut sebenarnya bukanlah seorang jaguh kampung yang buta huruf. Beliau adalah seorang yang terpelajar, yang pernah mengembara menuntut ilmu dari Pattani sehingga ke Makkah. Kerana itu, rangkaian serta jaringan maklumatnya cukup baik. Beliau jelas tahu apa yang sedang berlaku di dunia ketika itu, khususnya nasib yang menimpa Dunia Islam – kecelaruan dan perpecahan yang melanda umat Islam angkara masalah dalaman dan penjajahan asing. Beliau juga sedar bahawa simbol kekuatan politik umat Islam tika itu, Empayar Turki Uthmaniyyah, sedang diancam dan cuba dihapuskan oleh Inggeris melalui Perang Dunia Pertama.
Kerana itu juga, Tok Janggut adalah seorang yang berfikiran GLOKAL ( yakni, a person who thinks globally and acts locally ). Ini dapat dilihat melalui keprihatinan beliau terhadap nasib Dunia Islam yang dipadankan dengan suasana setempat, yang kemudiannya ditafsirkan melalui penentangan bersenjata pada tahun 1915.
Sayang sekali, hakikat ini selalu sahaja tenggelam, samar samar atau langsung gagal dinyatakan dalam huraian kontemporari sejarah Tok Janggut, hingga menampakkan perjuangan beliau sebagai bercorak parokial ( kekampungan ) yang hampir tidak membawa apa apa makna.
BACAAN BERKAITAN
Nasron Sira Rahim, Berita Harian : ” Tok Janggut “
INGGERIS cuba menyembunyikan cerita sebenar mengenai Tok Janggut. Lelaki itu dan kumpulannya dituduh penderhaka kepada sultan, bangsa dan tanah airnya iaitu Kelantan.
Perjuangan tokoh yang nama sebenarnya, Mat Hassan Panglima Munas itu cuba dinafikan, malah perkataan ‘jihad’ yang dilancarkan Tok Janggut diganti dengan perkataan ‘pemberontakan’ dan ‘penderhakaan’.
Rujukan alternatif
Emmeline Tan, The Star Online ; November 24, 2007 : ” One Moment In Time “
The story of a Kelantanese rebel who fought against the British comes alive in the Tok Janggut Trail.
A declaration of jihad (holy war), an insurrection against foreign invaders, the death of a rebel leader and the parade of his corpse before it was hung upside-down in public as a warning – this is the story of Kelantan’s Tok Janggut.
SP Star : ” Penentangan di Kelantan “
Pengaruh luar seperti Perang Dunia Pertama dan Dahagi di Singapura pada tahun 1915 juga mempengaruhi penduduk Kelantan melancarkan kebangkitan terhadap pentadbiran British.
Orang Kelantan percaya British akan mengalami kekalahan dalam Perang Dunia I. Begitu juga apabila Dahagi meletus di Singapura pada tahun 1915. Penduduk Kelantan mendapat berita bahawa tentera India berjaya membunuh orang Eropah secara beramai-ramai. Kesannya, kejayaan Dahagi ini menyebabkan orang Kelantan tidak lagi menghormati orang Eropah sebagaimana sebelumnya.
Hasrizal Abdul Jamil : ” Hubungan Alam Melayu – Turki : Merentasi Sejarah “
Sebuah lagi catatan penting ekoran daripada gerakan Pan-Islam Sultan Abdul Hamid II adalah tercetusnya Dahagi Singapura pada tahun 1915.
Sehingga pada hari ini, sebab sebenar yang mencetuskan Dahagi tersebut masih belum didedahkan kepada umum kecuali dengan beberapa andaian yang berhasil semenjak beberapa tahun yang lalu. Ini berikutan daripada polisi Britain sendiri yang merahsiakan perkara tersebut.
Dahagi ini sebenarnya bermula ekoran daripada bantahan askar India dan Melayu Muslim daripada dihantar ke Timur Tengah bagi menyertai tentera Arab menentang pemerintahan Khilafah Othmaniah semasa Revolusi Arab 1916.
http://w3.spancity.com/yosri/DaftarT.htm
Tok Janggut
” Nama sebenarnya adalah Haji Mat Hassan bin Panglima Munas.
Selepas Perjanjian Bangkok 1909, British mengambil alih pemerintahan
Kelantan daripada Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya
dari segi pentadbiran.
Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan
pemimpin tradisional di negeri Kelantan. Antara yang paling sensitif ialah mengenai
pengenaan cukai kepala RM 1.00 seorang setahun, pokok buah-buahan 3 sen
setahun, kelapa 3 sen setandan dan sireh 5 sen sejunjung. Pada 29 April 1915,
pentakbiran Jeram, Pasir Puteh, Kelantan telah diambil alih oleh Encik Latiff seorang
pegawai takbir British yang berasal dari luar Kelantan, menggantikan Engku Besar.
Pertelingkahan mengenai cukai dan urusan pengutipan cukai yang terlalu lambat
sehingga berlarutan selama tiga hari, menyebabkan Haji Mat Hassan bin Panglima
Munas enggan membayar cukai. Encik Latiff mengarahkan satu pasukan polis diketuai
oleh Sarjan Sulaiman (Che Wan) bertolak ke Kampung Tok Akib dan menemui Haji Mat
Hassan bin Panglima Munas pada 29 April 1915.
Dalam satu pergelutan yang berlaku, Sarjan Sulaiman telah terbunuh. Haji Mat Hassan
bin Panglima Munas kemudiannya menghimpunkan orang-orangnya menuju ke Pasir
Puteh. Encik Latiff pula telah melarikan diri ke Kota Bharu. Bantuan daripada Singapura
dan Negeri Melayu Bersekutu dikejarkan ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915.
Satu pertempuran berlaku pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh.
Kebangkitan Haji Mat Hassan bin Panglima Munas menyebabkan Sultan Kelantan yang
memerintah pada masa itu merasa terancam dan menganggap Tok Janggut sebagai
penderhaka dan dalam pertempuran di Kampung Pupuh, Haji Mat Hassan bin Panglima
Munas telah terbunuh. Mayat Tok Janggut di bawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu
yang memakan masa satu hari.
Setelah digantung beberapa hari di hadapan istana, di Padang Bank (Padang Merdeka)
mayat Haji Mat Hassan bin Panglima Munas dikebumikan di Pasir Pekan. “
GAMBAR BERKAITAN
PADANG BANK, KOTA BHARU
* Poskad lama awal 1930an, yang memaparkan Monumen Perang Dunia Pertama dan Padang Bank di Kota Bharu. Imej ” dipinjam ” dari blog Northernmalaya. Turut kelihatan adalah bangunan Istana Jahar. Foto dirakam sekitar 1930an.
*dikatakan inilah mayat Tok Janggut. Ada yang mengatakan ini bukan mayat Tok Janggut tetapi adalah salah seorang pengikutnya yang terbunuh dalam peperangan bersama Tok Janggut, ada yang mengatakan British tersalah mengecam identiti Tok janggut. Bagaimanapun, ia tidak disokong oleh bukti yang kuat. Penulis asal percaya inilah jasad Tok Janggut.
* Tentera British bergambar. Tulisan di kaki mereka jelas menunjukkan Pasir Puteh 14-10-1915. Lebih kurang 5 bulan selepas pemberontakan yang mahsyur itu berlaku di tempat ini. Askar ini dihantar dari Singapore dan gambar ini membuktikan bahawa mereka masih berada di sana walaupun sudah berbulan berlalu sejak kematian Tok Janggut. Mungkin askar ini mahu berjaga-jaga dari pemberontakan yang mungkin berlaku oleh para pengikut Tok Janggut.
Sumber asal : http://iniceritakita.wordpress.com/2008/11/07/tok-janggut-antara-cukai-feudalisme-dan-nasib-dunia-islam/
No comments:
Post a Comment